Selasa, 24 Jun 2014

tenunan

SEJARAH TENUNAN

Perkembangan tenunan di Malaysia dipercayai berkaitan dengan pendatang yang kebanyakannya terdiri dari pedagang-pedagang. Pedagang-pedagang dari Jawa, Kepulauan Maluku, Borneo dan Bugis telah memperkenalkan beberapa jenis kain tenunan. Beberapa corak tenunan yang dihasilkan di Terengganu dan di Kelantan misalnya telah diberi nama seperti tempat asal pedagang-pedagang tersebut. Dengan ini terdapat tenunan corak Samarenda (Borneo Timur), corak Bugis dan corak Palembang. Tenunan ini termasuk juga kain corak Muar dari Johor. Tenun biasa ialah tenunan yang menghasilkan kain yang sering digunakan oleh golongan masyarakat biasa, terutama tenunan yang dibuat dari bahan benang kapas.

Benang sutera juga digunakan tetapi harganya lebih mahal dari tenunan benang kapas. Tenunan kapas juga dipercayai merupakan tenunan pertama yang wujud di Kelantan dan ia lebih dikenali sebagai kain tenun balas dan setuli benang. Corak-coraknya juga sederhana disebabkan benang-benang masih terbatas warnanya. Pada masa yang sama iaitu kira-kira pada awal abad ke -18, masyarakat telah mengenali kain cindai, kain Bugis dan kain Acheh. Akan tetapi penenun tempatan mencipta corak-corak dengan menyusun benang-benang pada anian tanpa meniru kain-kain yang didatangkan dari luar. Pengertian Tenun merupakan salah satu saranai seni yang patut dilestarikan.

Kain tenun kerap menjadi pakaian yang digunakan untuk melakukan upacara adat. Contoh daerah yang menggunakan kain tenun sebagai pakaian adat. Antara lain, kaintenun sasak dan kain tenun bayan dari Lombok, kain tenun grinsing dari Bali dan juga masih banyak daerah lainnya. Tenun adalah kegiatan menenun kain dari helaian benang pakan dan benang lungsin yang sebelumnya diikat dan dicelupkan kedalam zat pewarna alami.Adapun beberapa teknik menenun yang dikenal oleh masyarakat Indonesia, iaitu teknik tenun datar, tenun ikat dan teknik benang tambah. Ia merupakan proses menjalin helaian benang sama ada benang kapas atau emas secara berselang seli sehingga menjadi sehelai kain. songket Songket merupakan sejenis kain yang biasanya ditenun dengan mesin tradisional, dan mempunyai corak rumit benang emas atau perak. Perkataan songket bermaksud membawa keluar atau menarik benang daripada kain atau menenun menggunakan benang emas dan perak. Dari segi sejarah, ia hanya dipakai golongan bangsawan - keluarga kerabat diraja dan orang besar negeri. Kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak songket ketika itu menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang pembesar. Ia telah terkenal di Malaysia dan Indonesia sejak abad ke-13 yang lampau. Songket punya nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung. Selain mengangkat martabat si pemakai, motif dan warna tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang.

Susunan Motif Songket

 1. Susunan bunga penuh corak penuh bersulam juga dikenali songket cuban. Motif benang emas dan perak      ditenun memenuhi keseluruhan kain.

2. Susunan bunga tabur corak ditenun secara bertaburan dan tidak terikat atau berangkai antara satu sama lain. Motif bunga yang ditenun ialah bunga tanjung, bunga buah cermai, bunga buah kesemak dan  lain-lain.Taburan pada kain songket juga dilengkapi dengan garisacorak di kepala dan kaki kain.

3. Susunan bercorak susunan motif dibuat secara jaluran berdiri atau melintang. Proses Tenunan Songket Bahan dan Alat Benang dan pewarna ialah bahannya. Alatnya pula terdiri daripada kek tenunan, kek mengarat, rahak, peleting buluh (bobbin), lidi daun kelapa, papan gulung, anak kayu, dua belira, sikat dan jentera, jarum culik, batang anak kayu, kayu karat, benang losen, lidi nibung atau buluh, benang batang bunga songket, darwin pakan, darwin benang emas, cuban, torak pakan, torak benang emas dan sumbi. Teknik dan Proses Setelah benang dibersihkan dan dimasukkan ke dalam pencelup warna, ia dibilas dengan air dan dijemur hingga kering.

Lapan proses lagi yang terlibat sebelum sesuatu tenunan boleh disiapkan

1. Melerai
 Benang yang telah kering dimasukkan ke dalam sejenis alat yang bernama rahak untuk diputarkan pada satu alat yang bernama peleting. Proses ini dipanggil melerai. Terdapat dua jenis rahak, iaitu darwin pakan dan darwin emas. Darwin pakan digunakan untuk benang pakan sahaja. Ia diperbuat daripada buluh dan tali atau rotan. Darwin emas pula digunakan untuk benang emas sahaja dan diperbuat daripada kayu atau dawai kerana benang emas kasar dan berat.

 2. Menganing 
 Benang yang telah menjalani proses melerai dimasukkan ke dalam alat menganing untuk menentukan ukuran panjang benang yang hendak dimuatkan pada alat ini. Biasanya segulung benang pakan atau seloseng yang berukuran 26 - 31 m boleh menghasilkan 12 - 14 helai kain.

 3. Menggulung
Benang yang telah dianing akan digulung pada papan gulung mengikut lebar gigi jentera dan panjang losen pada papan gulung yang hendak dipasung. Losen ialah benang yang memanjang pada kek. Kedudukan benang perlu diperiksa setiap tiga kali menggulung untuk memastikan susunan kemas.

 

 4. Menyampuk
 Menyampuk ialah proses memasukkan benang losen ke dalam gigi jentera atau sikat. Biasanya, proses ini dilakukan di dalam kek mengarak supaya senang untuk menyampuk benang kepada jentera. Setiap lubang sikat disusukan dua urat benang losen. Pada kedua belah hujung sikat itu disusukkan empat urat benang supaya tepi kain tidak terkoyak apabila disangkutkan pada kayu sumbi kain. Sumbi kain ialah sebatang anak kayu yang mempunyai paku di kedua-dua belah hujungnya. Sumbi kain menjaga tepi kain tenun supaya sama jarak dan tidak berkedut.

 5. Menghubung
Menghubung ialah proses menyambungkan benang daripada losen kepada benang yang tertinggal pada jentera. Cara ikatannya dipanggil ubung tindas. Proses ini bertujuan menyambungkan benang losen untuk menenun. Meja kecil dinamakan meja hidangan berukuran 10 cm panjang, 8 cm lebar dan 20 cm digunakan untuk menghubung.

 6. Mengarak
 Kerja mengarak dilakukan setelah selesai proses menyampuk. Mengarak dilakukan dengan melilit benang asing atau benang karat kepada kayu karat, termasuk benang losen. Jumlah karat yang digunakan biasanya hanya dua karat dan setiap karat mempunyai empat batang anak kayu

 7. Menyolek
 Kerja menyolek bunga merupakan kerja yang paling rumit dalam proses menenun kain songket. Cara menyolek reka corak adalah dengan menyusulkan lidi-lidi buluh pada benang losen yang dikehendaki. Biasanya kain songket ditenun dengan teknik tekat tiga atau tekat lima. Jika menggunakan tekat lima, setiap lima unit benang losen, satu benang alas ditolak ke bawah dan benang-benang alas ini disengkang pula dengan belira. Setelah benang losen berada di atas, barulah kamu boleh menyolek dalam pelbagai corak pada benang losen dengan menggunakan lidi buluh. Belira dimasukkan pada setiap lidi buluh tadi mengikut giliran. Belira ditegakkan untuk menyenangkan ikatan benang butang. Butang-butang inilah yang akan menjadikan corak atau motif bunga di atas kain songket. Apabila selesai proses menyongket, benang losen bersama karat-karatnya ditukar ke kek tenun untuk ditenun agar menjadi kain songket.




 8. Menenun
 Menenun adalah proses terakhir, iaitu benang losen dipangkah oleh benang pakan untuk dijadikan kain. Bagi kain songket bercorak penuh, benang emas dilayarkan melalui torak benang emas untuk menghasilkan sulaman motif bunga atau hiasan reka corak penuh. Bagi kain songket corak melintang atau corak bunga bertabur, benang emas dilayarkan melalui cubaan untuk mendapatkan motif-motif yang dikehendaki. Lazimnya selepas satu benang emas dilayarkan, ia dikepuh (beat) dan diikuti pula dengan melayarkan dua benang pakan. Penenun akan menukarkan benang butang mengikut giliran dan corak yang telah ditentukan. Proses ini diulangi sehingga menghasilkan sehelai kain songket.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan